'>

Sunday, October 11, 2020

Dalam Sembuh

Kata mereka -- ilham itu paling lebat mencurah saat kejatuhan, saat hati menunduk rebah.
Tapi mengapa ketika aku menggenggam pena, yang tercatat hanya noktah?

Hati lebih memilih untuk menghambur rasa bersama suara dan doa, melalui tangisan di bahu manusia atau pada sujud terakhir yang menjadi rahsia aku dan Dia.
Kerana waktu itu, enggan kuabadikan rasa yang pahit dalam tulisan. Pedih itu, tidak mahu ku kenang dan simpan buat diriku di masa hadapan.

Masa hadapan yang kini bergelar;
Sekarang.

Mungkin bukan langit yang berubah lebih cerah, tetapi hati-hati kita yang bercantum lebih tabah.
Kerana kita mula akur pada takdir, walau belum sepenuhnya ikhlas.
Dan kerana kita belajar bahawa pelangi yang dikirimkan Tuhan itu jauh lebih indah, meski harus disingkap sang awan agar terlihat jelas.
Dan bahawa rasa sakit itu tidak melemahkan, sebaliknya kita yang terkadang memilih untuk tersungkur lemah dalam kesakitan.
Dan hakikatnya masa tidak pernah menjadi penyembuh, sebaliknya Tuhan yang menyembuhkan seiring masa.

Terpanggil aku menggagahkan hati untuk kembali menoreh aksara dan melipat duka, seringkasnya sekadar buat tongkat diri andai berbalut luka di masa hadapan.

Teruntuk kamu, dari masa lalumu;
Pedih itu tidak selamanya kekal di situ, selagi kamu bergerak lurus menuju Tuhan—selagi itu tidak terputus tali harapan.

 
 

 



Everyone has their own struggle of becoming better. Think twice before we judge! :)

No comments: